Hujan petang tadi tidak meninggalkan dinginnya. Mungkin juga kerana mampatnya manusia, kesesakan yang melintas sepanjang jalan dan koridor bangunan, membawa hangat yang luar biasa. Di sisi kanan, aku melihatnya menahan kantuk. Di permukaan jam, angka yang ada memperlihatkan majlis malam ini bermula lewat seperti yang kebiasaan. Majlis ini dihadiri orang-orang kenamaan. Di bawah mereka, sering mereka berfikir masa akan tunduk seperti ratusan malahan ribuan manusia yang sedang menanti seorang kenamaan yang dijadualkan datang 20 minit sebelumnya untuk merasmikan majlis gemilang malam ini. Majlis tahunan yang meraikan kebudayaan setempat. Majlis gemilang yang mempertemukan rakan-rakan dari Negara lain di bawah kem yang sama iaitu, penghargaan terhadap kebudayaan serantau.
“Agak-agak dia datang jam berapa?” Dia tanya aku yang sedang menahan gigil untuk membakar sebatang rokok. Aku memandang jauh ke hadapan. Di hadapan adalah dinding manusia yang terisi dengan bunyi bingit, teriak tangis anak kecil dan tengik peluh yang berkumpul. “Aku tak pasti. Aku tak fikir nak ambil tahu pun. Bukan orang kenamaan memang sering lambat datang ke mana-mana majlis ke?”
Dia tersengih. Aku tanya dia “Apa pasal sengih?”
“Orang ramai berkumpul malam ini dengan penuh perasaan, entah teruja entah apa mengingatkan aku kepada sesuatu”
Aku sudah kenal dia untuk suatu tempoh yang panjang sejak kami bersama-sama menjadi juruteknik untuk majlis-majlis sebegini semenjak 4 tahun yang lalu. Dan aku tak fikir malam ini akan berbeza seperti mana hari-hari sebelumnya bila mana dia melihat sesuatu, terutamanya orang sekelilingnya dan ia akan membawanya ke masa lalu. Jadi aku bakar sebatang rokok, mendobrak peraturan yang ditetapkan malam itu kerana apa yang akan dibualkannya untuk suatu tempoh yang tak dapa diteka malam ini akan mengungkapkan hal yang sama.
“Pasal apa?” Soal aku setelah hembusan asap tar dan nikotin yang pertama.
Dia masih tersengih ketika menjawab “Revolusi Rusia”
*
Ia tahun di mana sebuah malapetaka telah berlaku. Semasa pertabalan Nicholas II di Moscow, yang mana secara tradisinya akan memberikan hadiah kepada rakyat jelata dan kelas atasan, sebuah rempuhan telah berlaku semasa rakyat jelata berkumpul di Padang Khodynka. Suasana tenang pada awalnya berubah menjadi panik. Disebabkan suasana yang terlalu sesak, kepadatan yang menggila, rempuhan telah berlaku dan menyebabkan 1200 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua maut dalam rempuhan yan berlaku. Pihak polis yang mengawal orang awam semasa istiadat pertabalan berlaku telah diacu dengan ratusan jari agar bertanggungjawab kerana Nicholas yang diraikan tidak berada di kawasan kejadian.
“Jadi kau nak cakap suasana sesak macam malam ni akan sebabkan rempuhan?” Tanya aku ingin tahu.
Dia masih lagi tersengih dan mengeluarkan kotak rokok dari poket seluarnya. Sebatang tar dan nikotin dinyalakan dan dia menyambung “Sebenarnya malapetaka telah lama berlaku di Rusia. Lama sebelum pertabalan Nicholas II tu berjalan. Maharaja Tsar yang telah memerintah Rusia sebelum Nicholas II dan pewaris sebelumnya menjalankan pemerintahan yang autokratik. Dia bebas untuk menghukum sesiapa pun. Sama ada dihukum penjara, dibuang ke Siberia, dipukul atau dibunuh, Maharaja Tsar boleh buat apa saja yang dia nak sebab dia ketika itu adalah Pemerintah Agung. Dan kerana ini, kerana bapa borek dan anak rintik, kakitangan kerajaan Tsar mengadaptasi hal yang sama. Rasuah adalah hal lazim. Salah guna kuasa bukan suatu dosa pun ketika itu. Dan yang paling tertekan akibat kezaliman ini adalah golongan petani”
“Aku masih tak nampak kaitan malapetaka Rusia tu dengan apa yang berlaku malam ni?”
Rokok di celah jarinya terbakar perlahan. Dia masih memandang jauh ke dalam kelompok manusia di hadapannya. “Revolusi Rusia bergerak dengan semangat radikal yang kuat. Decembrist, People’s Will, Socialist, ketika itu selain mengajak orang-orang tertindas bagi melawan tuan tanah mereka dan menteri korup, polis zalim dan keluarga monarki Tsar sendiri melalui mogok besar dan kecil, mereka mempromosi agenda pembunuhan watak-watak penting dalam kerajaan autokratik Tsar. Tahun 1879. People’s Will merancang untuk meletupkan laluan keretapi yang bakal dilalui oleh Tsar namun ia tidak berjaya. Dan ia tidak terhenti begitu saja, pada tahun 1881, People’s Will merancang plot pembunuhan yang lain untuk membunuh Tsar di ibu kota”
“Dan Tsar terbunuh?”
Dia menggeleng. Rokok di celah jari kini berada di celah bibirnya. Asap disedut dan dihembus ke luar kembali. “Cubaan demi cubaan mendatangkan hasil yang sama, kegagalan. Para revolusioner Russia ketika itu melihat pembunuhan watak-watak penting dalam kerajaan Tsar akan melemahkan kerajaan Tsar dan memudahkan revolusi untuk menggulingkan Tsar berlaku. Di dada dan lidah mereka, sebuah Republik Rusia jelas telah terlakar”
“Dan apa kaitannya dengan rempuhan yang dahsyat tu?”
Emcee di atas pentas bercakap hal-hal rambang yang aku tak peduli. Suara-suara halus dari perbualan sekeliling dan kehangatan yang makin mencanak naik membuatkan aku berpeluh. Dia juga sama. Tapi dalam matanya aku lihat dia telah pun berada di dimensi yang lain. “Adalah aneh bila mana rempuhan sedahsyat itu boleh berlaku sebenarnya. Melainkan kelompok manusia yang ada di kawasan kejadian sedang berebutkan sesuatu. Rusia dengan gaya pemerintahan yang korup menyebabkan masalah kemiskinan menjadi dahsyat dan mengazabkan dari tahun demi tahun. Dan ketika majlis pertabalan Nicholas II berlangsung, petanda besar mengenai isu mustahak ini terpampang jelas melalui rempuhan yang berlaku. Ribuan warga miskin yang terdiri dari petani dan peminta sedekah mengerumuni Padang Khodynka umtuk mendapatkan hadiah dari keluarga monarki yang memerintah. Dan sekiranya tak beroleh apa pun, mereka semua sasarkan perkara besar yang lain iaitu jamuan yang diadakan buat para pengunjung. Jamuan di kawasan terbukan akan menghidangkan sup dan roti dan hasil dorongan ini membuatkan warga Russia yang telah lama bergelut dengan kemelaratan hidup menjadi tak tentu hala”.
*
Aku terdiam sejenak. Di sebalik riuh di kiri dan kanan aku yang sedang berlaku, aku memikirkan hal yang lain. Dalam masa seminggu persiapan untuk majlis malam ini, aku terserempak dengan peminta sedekah dan gelandangan di setiap ceruk kota, cuba melelapkan mata dipeluk dingin malam. Aku tak ingat sama ada aku ada memberikan mereka sesuatu tetapi aku faham apa yang dia cuba sampaikan melalui kisahnya tadi. Malam yang gilang gemilang ini apa gunanya buat perut-perut yang lapar yang selama ini bergelut dengan kemelaratan hidup? Budaya serantau yang diraikan malam ini apa gunanya jika ia hanya menghiburkan hati-hati yang punya tempat enak untuk terlelap malam ini? Gelak ketawa malam ini apa baiknya buat mereka yang selama ini diburu dengan gelaran pengotor, dan jijk kerana tinggal di lorong jalanan yang kotor, dan meminta duit sebagai cara untuk mendapatkan pendapatan?
“Agaknya aku faham maksud kau” Kata aku cuba menghabiskan rokok di tangan dengan sedutan yang terakhir. “Tapi” kata aku, “Aku tak pernah bersetuju dengan kekerasan. Ia bukan budaya kita. Lagipun ahli politik bukan semuanya korup. Macam Lenin yang orang Russia tu kan. Dia…”
Suasana menjadi semakin riuh. Kelihatan orang kenamaan yang dinanti sejak sejam yang lalu telah pun bergerak ke atas pentas untuk melakukan gimik perasmian dengan melengkapkan susun atur artifak budaya yang terpilih. Sebuah kepingan kayu disematkan bersama kepingan kayu yang lain yang membentuk artifak budaya di atas pentas. Hadirin bertepuk tangan. Emcee bertepuk tangan. Pihak berkuasa bertepuk tangan. Semua orang bertepuk tangan. Kecuali dia.
“Aneh bukan, bagaimana selalu saja gimik sebegini berlaku dalam mana-mana perasmian? Orang kenamaan perlu melengkapkan upacara atau kepingan yang terakhir. Tak ubah seperti menghirup segala hasil penat lelah orang lain kemudian mengambil untung sepenuhnya ke atas mereka”
Lampu bergemerlapan, kumpulan koir berdiri tegak untuk menyanyikan lagu kebangsaan dan bila not pertama berbunyi, rokok di tangannya dilepaskan di bawah dan diinjak oleh sepatunya yang kusam kehitaman sebelum dia melangkah masuk ke koridor menuju ke tandas lelaki di hujung bangunan.