“Ibu, mana kita nak tidur malam ni?” soal Rina kepada ibunya.
“Malam ni kita tunggu ayah dulu ya, ayah akan cari tempat tidur untuk kita.” jawab ibu.
Begitulah antara dialog yang selalu dilontarkan oleh Rina anak yang berusia enam tahun kepada ibunya menjelang malam hari. Jawapan yang sama juga turut diberikan oleh ibu kepada anaknya. Mereka telah melalui peristiwa ini sepanjang 3 tahun sejak ayahnya diberhentikan daripada kerja ekoran daripada tekanan ekonomi yang tidak menentu. Bukan niat seorang ayah untuk membiarkan anaknya hidup dengan gelaran gelandangan, cuma ayahnya masih buntu untuk mencari perkerjaan yang sesuai serta menjanjikan pendapatan yang lumayan. Hidup di kota metropolitan kadang kala menjanjikan perkara yang indah ibarat emas yang setinggi gunung, kadangkala juga seperti loji kumbahan najis yang penuh dengan gumpalan-gumpalan najis. Acap kali golongan ini dituduh sebagai golongan yang malas, yang tidak mahu mengubah nasib keluarga dan lebih teruk lagi tidak mahu berusaha. Hakikat yang sebenar, hanya mereka sahaja yang mengetahui derita ingin meloloskan diri dari tuduhan sebegitu. Manusia kebiasaanya suka menjadi hakim, menghukum tanpa neraca yang sesuai.
Saat Rina menunggu ayahnya pulang, Rina dan ibunya menunggu di sebuah perhentian bas, tempat selalu mereka menyambut ayahnya. Semasa menunggu ayahnya, Rina mula menuding jarinya ke suatu tempat yang bercahaya, sangat indah dimata setiap manusia yang memerhati. Lalu Rina mengajukan satu lagi soalan kepada ibunya,
“Ibu kenapa kita tidak tidur sahaja di dalam rumah itu? Lampu dia cantik-cantik ibu macam hotel.”
Ibu segera menurunkan tangan Rina yang sedang menuding lalu berkata;
“Mana boleh sayang, itu tempat suci, kita tidak diterima jika hendak tidur di situ, bukan tidur sahaja, sekiranya kita mendekati kawasan itu sahaja sudah tentu kita dihalau”.
Rumah yang dimaksudkan oleh Rina itu adalah masjid. Sebuah rumah ibadat untuk manusia yang menganut agama kedua terbesar di dalam dunia iaitu agama Islam. Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya, mengapa masjid yang tersergam indah itu tidak menerima gelandangan untuk bermalam dan tinggal di situ? Adakah rumah ibadat itu terlampau suci sehingga menyebabkan tidak dibenarkan orang miskin tinggal di dalamnya?. Saban hari kita mendengar masjid-masjid yang baru dibina di segenap tempat, termasuklah di kota metropolitan ini. Ramai manusia yang mengejar saham akhirat, inginkan syurga yang indah, tempat mereka bermain, bercanda dan bersuka ria. Tetapi mengapa masjid yang dibina itu, tidak disediakan sekali kawasan untuk golongan gelandangan ini bermalam? Hakikatnya golongan gelandangan ini tidak mahu sebenarnya menjadi seperti itu, mereka amat bergelut untuk melepaskan diri, tapi apakan daya. Bukankah dengan menolong golongan gelandangan ini dengan menempatkan mereka di kawasan ibadat akan menunjukkan betapa sucinya dan luhurnya sesuatu agama itu.
Tiga puluh minit telah berlalu, Rina melompat-lompat melihat ayahnya yang pulang dari kerja berjalan menghampirinya sambil menyuluhkan lampu picit ke atas jalan. Malam semakin larut, oleh itu tambahan cahaya diperlukan. Sampainya dia ke arah keluarganya, Rina terus memeluk ayahnya dengan penuh manja, menunjukkan kasih sayang itu tidak hanya dinilai dengan wang ringgit semata. Semasa mereka berdua berpelukan isterinya bertanya
“Abang malam ini kita tidur di mana?” soal seorang isteri yang tabah bersama suaminya, sentiasa ada di sisi saat suka dan duka.
“Nanti abang cari, tapi buat masa ini kita pergi ke jalan Chow Kit dulu, sebab abang dengar ada pelajar-pelajar Universiti agihkan makanan untuk kita. Kita boleh ambil secara percuma.” Jawab seorang suami dengan tenang.
Mereka bertiga berjalan ke tempat hendak dituju demi mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut mereka di malam hari. Aktiviti ini amat dipuji kerana memberikan golongan ini peluang untuk menjamu selera, tetapi pernahkah kita terfikir bahawa terdapat perkara yang lebih penting sepatutnya disediakan untuk mereka, iaitu tempat tinggal. Tetapi pelajar Universiti ini tidak mempunyai kuasa. Sedangkan mahu menyatakan pendapat tentang pemerintahan sahaja akan diugut apatah lagi jika ingin berbicara soal penempatan. Cuma ada satu perkara lagi yang boleh dilakukan oleh pelajar universiti ini, iaitu dengan memberikan khemah kepada mereka. Khemah ini boleh dijadikan sebagai tempat tinggal untuk mereka, tempat mereka menukar pakian, malahan boleh dijadikan sebagai tempat berlindung bagi mereka dikala cuaca tidak mengizinkan. Perkara ini dilihat lebih wajar selain memberikan bantuan makanan yang hanya boleh dinikmati sehari.
Selepas mereka mengambil makanan yang telah disediakan, mereka duduk di satu sudut di bawah sebuah jambatan untuk menikmati hidangan yang mereka perolehi tadi bersama. Si ibu menyuapkan anaknya makanan, disebabkan anaknya terlampau berselera makan, sang ayah memberikan bahagian makananya kepada anak yang amat dicintai itu.
“Abah Rina dah kenyang, Rina nak tidur.” Bicara Rina.
“Tidurlah nak, abah dah bentangkan kotak tu, ambil baju ayah, selimut badan tu nanti sejuk.” Rina hanya mengiyakan suruhan ayahnya, lalu dia pun tertidur.
Malam semakin gelap, hanya cahaya bulan yang menemani. Sang ayah berfikir tentang suatu perkara, semasa zaman Muhammad, hamba itu dibebaskan, setiap orang dilayan sama, tidak ada pilih kasih semuanya akan mendapatkan hak yang adil, tetapi adakah hari ini manusia mula berpaling dari ajaran Nabi? Banyak orang yang mula dihambakan dan kiblatnya adalah wang. Sedangkan Nabi yang terakhir itu adalah utusan untuk kaum hari ini. Kerana terlalu asyik berfikir, sang ayah pun larut dalam lena yang melelahkan.
Satu soalan yang paling istimewa, dimanakah kita saat mereka memerlukan bantuan?
*Artikel yang disiarkan di Tumbuh adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Thukul Cetak.