Sumber: The Huffington Post
Isu yang masih hangat dibincangkan oleh masyarakat Malaysia apabila berbicara tentang peranan gender termasuklah isu peranan stereotaip lelaki dan perempuan iaitu isu breadwinner (pencari nafkah) dan caretaker (pengurus rumah tangga). Punyalah besar isu ini sampai bincang tak sudah-sudah lalu medan perbahasan ditinggalkan dengan perempuan menyalahkan lelaki dan lelaki menyalahkan perempuan. Jalan keluar tak jumpa pun. Heh.
Keadilan dalam pengurusan domestik dan tanggungjawab keibubapaan.
Secara stereotaipnya, masyarakat kita meletakkan tanggungjawab MUTLAK breadwinner kepada kaum lelaki dan caretaker kepada kaum wanita. Breadwinner dikatakan mempunyai status yang lebih tinggi berbanding caretaker. Tetapi adakah peranan stereotaip ini relevan dengan keadaan masyarakat kita pada hari ini?
Pada hari ini dengan keadaan ekonomi semasa, bagi melancarkan pengurusan kewangan keluarga kedua-dua lelaki dan wanita sudah sama-sama keluar bagi memenuhi tuntutan ekonomi keluarga. Namun acap kali kita lihat, wanita-wanita terpaksa meninggalkan pekerjaan bagi memenuhi tanggungjawab sebagai caretaker yang mengurus urusan domestik dan tanggungjawab keibubapaan walaupun wanita tersebut mempunyai pekerjaan dan prospek pendapatan yang lebih bagus kerana agak janggal bagi masyarakat kita untuk melihat lelaki sebagai caretaker. Hal ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada wanita tersebut (kehilangan punca kepuasan kendiri lalu kualiti hidup wanita tersebut akan menurun) tetapi kepada ekonomi keluarga itu sendiri. Peranan wanita sebagai satu-satunya caretaker haruslah dikaji semula.
Pengurusan domestik seperti menguruskan rumah tangga secara logiknya haruslah digalas oleh kedua-dua lelaki dan wanita. Jika ada lagi yang masih bergaduh siapa yang harus di dapur, eloklah masyarakat Malaysia menggunakan pendekatan “Awak cekap masak kan? Okay dapur kawasan awak tapi urusan basuh membasuh tugasan saya.” *sambil kenyit mata*. Jika di dalam sebuah keluarga tersebut, si wanita lebih cekap memasak, maka berilah tanggungjawab tersebut kepada si wanita dan si lelaki ambil lah tugasan-tugasan domestik lain seperti urusan basuh membasuh barangkali. Atur pengurusan domestik mengikut kepakaran dan kemampuan masing-masing. Tak ke harmoni rumah tangga jika begitu?
Selain itu, tanggungjawab keibubapaan haruslah digalas oleh kedua-dua lelaki dan wanita. Dah nama pun tanggungjawab keibubapaan maka yang harus lunaskan tanggungjawab tersebut bukanlah satu pihak semata-mata. Kalau tidak namanya akan jadi tanggungjawab keibuibuan atau kebapabapaan sahaja lah. (Pendapat tidak tertakluk kepada keluarga
homoseksual. Itu cerita lain). Kajian menunjukkan penglibatan secara langsung bapa dalam membesarkan anak-anak akan mengurangkan risiko dan kadar kemurungan dalam kalangan anak-anak (anak-anak lebih gembira) dan ada kajian yang mengatakan penglibatan bapa dalam hidup anak perempuan akan meningkatkan perkembangan kognitif dan intelek anak perempuan tersebut. Kehadiran bapa dalam hidup anak-anak perempuan juga akan mengurangkan masalah sosial seperti lari rumah dan mengandung luar nikah. Kajian-kajian mengenai daddy issues merupakan kajian yang kerapkali dibincangkan dalam bidang psikologi. Bapa yang terlibat dalam hidup anak-anak juga akan membesarkan anak-anak yang kurang sifat stereotaip jantinanya.
Selain itu, perkara lain yang boleh dilakukan bagi melahirkan institusi keluarga yang mapan juga, caretaker sepenuh masa atau dalam bahasa mudahnya suri rumah haruslah dipandang sebagai satu kerjaya iaitu pekerjaan mempunyai gaji dan cuti. Jika atas sebab-sebab tertentu salah seorang daripada lelaki atau wanita harus meninggalkan pekerjaan, breadwinner atau pencari nafkah keluarga haruslah mampu untuk membekalkan belanja rumah, gaji kepada surirumah dan yang paling penting sekurang-kurangnya satu hari daripada tujuh hari seminggu cuti total kepada surirumah tersebut. Maknanya satu hari daripada tujuh hari seminggu tersebut bolehlah dimanfaatkan oleh surirumah tersebut untuk mendapatkan rehat dan waktu untuk diri sendiri. Hal ini penting kerana surirumah ini kerjanya bukanlah tertakluk kepada 8 pagi sehingga 5 petang tetapi 24 jam sehari. Takkanlah daripada 168 jam seminggu, 24 jam cuti total tidak mampu breadwinner berikan, ye dak?
Beberapa cadangan ini hanyalah sekadar pandangan peribadi bersama sedikit lampiran daripada kajian-kajian dalam bidang psikologi. Pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang kuat haruslah bermula dengan unit yang paling kecil iaitu institusi kekeluargaan. Perkara yang harus diambil kira terlebih dahulu bukanlah desakan-desakan terhadap polisi yang lebih baik walaupun tidak dinafikan perkara ini antara perkara pokok dan penting juga. Usaha yang dilihat lebih penting ialah implementasi atau cara pelaksanaan sesuatu polisi tersebut.
Tidak guna berhabisan jutaan ringgit melakukan kajian atau seminar yang keterlaluan sehingga berlaku pembaziran bagi mencadangkan sesuatu polisi walhal yang seharusnya diberi perhatian ialah pelaksanaan sesuatu polisi tersebut. Sesuatu polisi dikatakan polisi yang baik sekiranya dapat melindungi golongan yang sepatutnya dilindungi. Tetapi lihat sahaja negara kita, kenapa masalah seksual berkaitan remaja dan kanak-kanak bawah 18 tahun masih berleluasa walhal sudah jelas termaktub dalam undang-undang bahawa remaja dan kanak-kanak merupakan golongan yang seharusnya dilindungi? Senang sahaja jawapannya, institusi keluarga masyarakat kita masih lemah kerana sudah lama ketidakadilan status antara lelaki dan perempuan ini orang pandang sebelah mata.
Rasanya sebelum kita keluar berjuang atau berperang dengan perkara-perkara yang lebih besar dan kejam eloklah sekiranya kita pastikan urusan diri dan rumah tangga dilunaskan dengan baik terlebih dahulu. Macam mana nak harapkan kejayaan-kejayaan sistematik yang lebih besar sekiranya urusan-urusan diri dan keluarga masih tunggang-langgang ye dak?