Tiada satupun peradaban yang masih diungkap-ungkap naratifnya dalam sejarah tamadun manusia, melainkan peradaban itu menjurai ilmu pengetahuan dan tradisi sekaligus menjadikan ianya tema yang maha besar dalam masyarakat. Namun, dalam perjalanan bani manusia mengisi ruang sejarah, kita akan melihat jatuh bangun sebuah peradaban akibat faham materialis yang melampau-lampau sehingga menyebabkan mereka membelakangi ilmu pengetahuan dan meletakkannya di maqam yang paling bawah dalam agenda membangun masyarakat.
Dan, akhir-akhir ini, kita melihat semula ulangtayang sejarah ini. Kita dipertontonkan semula dengan zulmat lama yang pernah mengeringkan satu per satu peradaban dalam sejarah tamadun manusia. Kita menjadi keliru, mengapa setelah berlambak siri-siri revolusi dan perubahan sosial yang berlaku di ceruk dunia ini, serta tidak kurangnya pemikir-pemikir yang mungkin boleh kita gelar sebagai resistance-intellectual (intelektual menentang), yang cuba mendobrak agenda-agenda bobrok masyarakat yang meletakkan ilmu pengetahuan setara dengan punggung mereka, masih juga wujud kaum masyarakat yang meletakkan ilmu sebagai projek kecil bahkan satu projek yang perlu ditentang dengan instrumen kuasa atau mudahnya hegemoni?
Ilmu dan Peranan Sosial
Kita terpaksa mengulang-ulang benda yang sama, subjek yang sama untuk mencerahkan semula masyarakat. Dan, sudah pasti, kita tidak mahu menjadi tamadun yang naratif sejarahnya gelap, beku dan tepu serta tidak mendatangkan apa-apa nilai kepada generasi seterusnya.
Pengetahuan-pengetahuan yang akhirnya membentuk faham dan pandang dunia (worldview) kita inilah, merupakan ilmu yang maha penting dan sepatutnya menjadi prioritas masyarakat terutamanya masyarakat pasca-modernisasi yang masih kelam kabut menjadi relevan dalam perlumbaan menjuarai faham materialis dan masih terkekang dengan debat-debat lapuk semisal islamisasi ilmu atau pengilmuan islam dalam kalangan masyarakat muslim yang akhirnya menyebabkan kita ketinggalan dalam menghasilkan (produce) pengetahuan dan idea-idea baru. Tinggallah kita menjadi kaum yang hanya menjadi pengguna kepada pengetahuan (consumer of knowledge) yang tidak menghasilkan apa-apa, yang hanya menyalin idea-idea yang datang daripada tradisi lain, kemudian mengaku, bahawa ianya datang daripada kita.
Dunia hari ini, terlalu lapang dan tidak bersempadan (no borders) lagi, dalam hal penularan pengetahuan-pengetahuan. Seakan-akan, mustahil lagi untuk kita tidak akses kepada maklumat yang sahih dan mustahil lagi kita boleh dibohong-bohongi oleh sekumpulan hegemoni yang mendominan cara fikir kita.
Tapi hal ini tidak berlaku, kerana dalam sistem masyarakat hari ini, kita sedang bergelut dengan krisis sosial yang tidak selesai-selesai. Dalam galak kita melancarkan projek pembijakan dan membawa turun ilmu pengetahuan ke lapangan publik, sebenarnya kita sedang masuk ke dalam gelanggang pertarungan melawan projek pembodohan dan perbudakan oleh sekolompok masyarakat yang mewakili hegemoni. Kelompok inilah yang masih setia dengan projek anti-ilmu dalam kalangan masyarakat kerana mereka sudah melihat, betapa masyarakat yang tercerahkan (rausyanfikir) yang tersedarkan mampu menggulingkan rejim dan hegemoni yang mendominasi sesebuah masyarakat.
Konflik sosial yang berlarutan inilah, yang menjadi alasan utama kita untuk tidak menanggalkan ilmu daripada peranan sosial. Ia perlu bersaing dan bertarung sama dalam projek pembodohan yang semakin laris dalam pasar pemikiran masyarakat. Ilmu yang mencerahkan dan menyedarkan perlu difungsikan dan diaktifkan semula untuk menggantikan instrumen-instrumen tua dan lapuk sebelum ini.
Ya, dalam masalah sosial yang kita geluti ini, semakin banyak tumbuhnya gerakan-gerakan sosial (social-movement) yang mengambil tempat menawarkan diri untuk terlibat sama membuat perubahan sosial. Kalangan mahasiswa, masyarakat sivil bahkan masyarakat politikal sendiri. Namun, kelompok-kelompok ini, hanya tinggal mimpi, jika mereka masih gelojoh menentang dan reaktif semata-mata tanpa meninjau semula ke akar permasalahan, tidak membaca wacana bobrok yang melatari masyarakat dan akhirnya mereka tenggelam bersama dalam silibus lawan. Musuh menjadi oportunis, mereka turut sama oportunis.
Agenda Di Sebalik Anti-Ilmu
“Berfikirlah sendiri dan jangan biarkan orang lain memikirkan tentang kita”, ungkapan Syeikh Hamzah Yusuf, sarjana muslim (muslim’s scholar) kontemporari dalam satu siri kuliahnya. Dalam sebuah masyarakat anti-ilmu, anti-wacana dan mendominasi, berfikir adalah satu tabiat yang maha radikal dan perlu dihapuskan serta merta.
Dalam hal ini, dua elemen besar mengambil peranan sebagai instrumen utama dalam projek anti-ilmu; kuasa dan agama (agama pada makna kaum muslim yang authoritarian). Dua elemen inilah yang merancakkan projek pembiusan dan pembisuan dalam kalangan masyarakat yang menuju pencerahan dan kesedaran. Dan mereka hadir, untuk menguruskan akal kita sekaligus memutuskan keputusan-keputusan untuk kita.
Projek anti-ilmu jauh lebih tersusun berbanding projek pembijakan dan pencerdasan masyarakat. Ianya berakar dalam institusi politik dan merebak secara eksponansial ke tengah masyarakat. Masyarakat yang tadinya berada dalam institusi dan struktural, membawa pula agenda hegemoninya ke masyakarat kebanyakan. Dalam ketegangan konflik sosial, masyarakat yang tidak cakna akan merasakan bahawa instrumen yang ditawarkan oleh kelompok anti-ilmu inilah sebagai penyelesaian. Menurut mereka, untuk mengelakkan banyak kerosakan, seperti yang digembar gemburkan oleh media arus perdana kita, iaitu banyaknya yang menentang kebobrokan sistem, kemelut sosial, dan akhirnya negara kelihatan seperti huru hara (chaos), maka projek anti-ilmu perlu diterima sebagai penawar mujarab atas nama keamanan dan perpaduan. Masyarakat kita masih belum sedia dan mungkin tidak berminat kepada perubahan. Kita lebih selesa mengulang-ulang benda yang sama yang kemudiannya melahirkan pula masalah-masalah yang sama.
Untuk melunaskan nafsu kita yang gemar memilih benda mudah dan selesa, maka kita menerima bulat-bulat tawaran oleh kelompok masyarakat anti-ilmu dan mempromosikan ia seluas-luasnya. Maka wujudlah masyarakat yang menakut-nakutkan kelompok masyarakat yang mengambil jalan untuk menentang dan membongkar agenda sulit antara kuasa dan agama untuk mematikan perubahan dan kebangkitan.
Kaum muslim misalnya, dengan tafsir authoritarian mereka yang memaksa kepada satu faham dan hanya mengungguli tafsir sendiri, menyebabkan wacana kaum muslim sudah tidak lagi menjadi projek pencerahan dan kritikal kepada masyarakat sebagai tema utama. Kita tidak lagi dibenarkan menyelidik, menyiasat cakap-cakap yang sampai ke telinga kita, lebih-lebih jika ia berbaur agama. Seakan-akan mustahil berlakunya salah dalam cakap-cakap kaum muslim terutamanya kaum agamawan kita.
Kondem-kondem ini, akan terus kita ulang-ulang, dan akan diulang-ulang pula oleh cucu cicit kita beberapa abad akan datang sekiranya kita masih mendokong projek anti-ilmu dan masih segan membuat perubahan dalam semua lapangan. Rumus-rumus yang segar sangat penting untuk mendepani masyarakat anti-ilmu, dan ilmu serta pengetahuan-pengetahuan yang mencerahkan dan meyedarkan perlu diketengahkan dalam masyarakat kita yang masih keliru untuk berganjak kepada perubahan atau tetap berdiri dalam paradigma yang lama.
Ilmu perlu dijadikan sifir dan senjata kepada perubahan masyarakat. Mengalihkan mentaliti anti-ilmu kepada masyarakat ilmu, berani berfikir, kritikal dan mahir menawarkan solusi bagi setiap kerancuan yang berlaku dalam lingkungan mereka. Kerja kita akan lebih mudah, dan kaum hegemoni dan sekutu-sekutunya yang masih istiqomah mematikan agenda pencerahan dan kesedaran ini akan ranap atau sekurang-kurangnya kita berjaya mematikan langkah mereka yang cuba menyembunyikan agenda-agenda busuk dan sarat dengan kepentingan kuasa dan peribadi.