BERIKUTAN dari isu Melayu malas sebagai sebab kepincangan mereka termasuk kelemahan pelajar Melayu dalam matematik dan lain-lain hal yang menyentuh tentang kebobrokan masyarakat Melayu, kita didedahkan dengan satu cara pemikiran yang boleh kita simpulkan sebagai penganiayaan terhadap pemikiran rasional yang sihat dan bertanggungjawab.
Dalam era moden ini, atas nama hak dan kebebasan, kononnya semua boleh memberi pendapatnya masing-masing, betapapun karut dan melalut idea yang diucapkan itu. Ruang publik menjadi semarak dengan pertukaran idea tetapi turut menjadi semak dengan idea dangkal, bebal, basi dan keji. Bagi yang tidak kuat dasar prinsip etika dan keyakinan intelektual yang tegap, mereka akan segera lemas dalam kerancuan yang semakin galak.
Satu antara sebab bercambahnya kerancuan ataupun kebebalan ini ialah bertahannya dan berlanjutannya trend penjahaman pemikiran intelektual. Sumber penjahanaman ini boleh datang dari individu dan kelompok tertentu atau institusi yang mantap seperti negara dan institusi pengajian tinggi atau badan kemasyarakatan atau NGO.
Harus kita perhatikan jenis penjahanam intelektual musiman yang terdiri daripada individu tertentu, yang pada fikirannya, prihatin kepada isu dan permasalahan masyarakat, yang tampil untuk menyatakan pendapat mereka. Dengan keegoan dan rasa berhak untuk menyampaikan pendapat mereka, yang diutarakan itu selalunya sarap-sarap idea bertahun-tahun lamanya berkarat dalam benak dan bayangan mereka.
Hujah mereka rapuh, malah senang disangkal tetapi menjadi lelah untuk ditepis kerana ia berulang-ulang dan timbul daripada pelbagai sudut dan masa. Lain perkataan, lontaran idea mereka kecil sebenarnya tapi taluan lontaran itu datang bermusim sehingga idea yang tidak munasabah dan bebal, terakam dan terbudaya dalam khalayak ramai.
Yang penting, kita harus menjangkau mencari sebab musabab bukan saja mengapa trend penjahanaman ini berlarutan tetapi juga mengapa ia bertahan sekian lama. Ini tentunya mengajak kita memerhatikan persekitaran politik, sosial dan budaya dalam masyarakat kita; sehingga penjahanaman pemikiran intelektual semakin menjadi-jadi, tanpa lenturan dan teguran.
Sebelum menjelaskan, seperkara penting untuk diingatkan ialah apabila kita mengatakan bahawa sesuatu kelompok atau institusi itu, kita tidaklah mengandaikan bahawa semua dari mereka itu berkelakuan dan berfikiran sama, melainkan kita mencirikan hanya dalam kalangan tertentu kelompok atau institusi masing-masing.
Pertama, wujudnya dalam kalangan elit penguasa yang takut pada idea-idea yang progresif, yang tidak dapat tidak, datang dari sumber intelektual yang kritis dan emansipatif. Elit yang rakus kuasanya, akan menjadi penghalang pertama kepada idea yang progresif, betapapun dari luarannya mereka tampil sebagai pemaju idea yang moden dan canggih. Demi kepentingan menepis idea idea progresif daripada berkembang dan berpijak, maka menjadi kepentingan elit pemerintahan ini untuk membenarkan idea atau kelompok yang mundur ideanya dalam persada ‘nasional’ kerana akhirnya kelompok ini senang dijaga, selain idea tersebut juga senang ‘dilayan’, tanpa merosakkan rejim berkuasa itu.
Kedua, golongan agamawan yang reaksioner, yang mungkin dalam jubah tradisionalisme agama, mahupun dalam jubah fundamentalisme agama yang eksklusif. Kelompok yang mendabik idea sebagai penjaga kunci agama ini, tidak akan membenarkan idea yang tidak selari dengan penetapan mereka. Paling parah apabila kelompok ini bersekongkol dengan penguasa negara/politik. Lebih parah lagi, apabila kejahilan mereka pada dunia yang realistis ini mereka tutupkan oleh jubah keagamaan yang mutlak, langsung mengingatkan bahawa manusia itu kerdil dan lemah serta hanya Tuhan saja yang mengetahui.
Ketiga, ialah penjaga media yang mundur, khasnya golongan wartawan yang menyediakan berita dan idea dalam akhbar dan media elektronik. Pemilihan yang mereka buat memperlihatkan kecenderungan ideologi serta selera intelektual yang mereka miliki. Sebagai penampung idea, kelompok ini menentukan manakah idea yang boleh tersiar dan mana pula yang harus disenyapkan, ataupun yang harus diputarbelitkan. Kelompok penjaga ini selalunya adalah sebahagian daripada sayap elit pemerintahan yang berkuasa dan agenda rejim yang berkuasa ini, akan tersalur daripada mereka yang kemudian dikemas sebagai berita dan informasi.
Keempat, ialah gerombolan intelektual yang bersekongkol dengan penguasa termasuk menjadi pengapit yang khadam pada imperialisme akademik yang berpusat dari sesetengah negara dunia pertama. Golongan intelektual ini mampu berbicara kepada pentas dunia yang dibina oleh imperialisme akademik tetapi langsung tidak bernafsu untuk membicarakan perihal yang pahit dan meruncing dalam masyarakat mereka. Lapangan intelektual sudah menjadi taman-taman teori yang buahnya harus dieksport ke Barat, sedangkan tanah dan bajanya harus datang dari sana jua. Ranah intelektual ini, malah menjadi penyangkak utama dalam pembudayaan intelektual yang merdeka, berdaya dan berpihak.
*Buku Penjahanaman Pemikiran Intelektual ini akan diterbitkan sempena #PBAKL2017. Sebarang pertanyaan hubungi Ali di +60173632143