Masyarakat hari ini, sepatutnya tidak lagi menjadi pengamal politik primitif; politik yang memihak hanya kepada satu blok dan set pemikiran yang sentrik. Dalam dunia yang maha canggih ini, kita tidak lagi perlu bersetuju dengan semua hal yang dikhutbahkan ke kita. Kita bukan lagi masyarakat persis budak hingusan yang perlu dibentak-bentak. Dalam hal politik, kita perlu akses lebih laju daripada para pengamalnya. Namun, mengapa dalam galaknya cakap-cakap perihal politik hari ini, masih ada segelintir masyarakat yang tidak berminat langsung tentang politik, bahkan melihat politik sebagai satu subjek yang terpisah daripada urusan sosial dan kehidupan?
Masyarakat Apolitikal dan Persepsi Kepada Politik
Elit-elit politik, para intelektual awam, aktivis sosial dan masyarakat politikal kita seakan-akan sudah bertungkus lumus membawa teks politik ke masyarakat publik. Bahkan sudah melaksanakan praktik-praktik politik yang mereka gelar sebagai merakyat. Apa lagi yang mereka belum lakukan?
Saya tidak pasti, samaada kekaburan ini turut dialami oleh para pemikir di luar sana atau konflik ini hanya bersifat peribadi hasil renungan yang bersifat rambang. Samaada terlupa, buat-buat lupa, ataupun memang sengaja diendahkan, kita tidak memikir semula definisi politik yang difahami oleh kebanyakan masyarakat apolitikal; masyarakat yang seboleh-bolehnya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan urusan politik. Kita tidak menyelidik obses kelompok ini kepada politik, kerana mungkin bagi para politikus, mereka sudah ada ahli yang setia. Satu dua undi tercicir akibat sekelompok kecil masyarakat apolitikal, tidak menggugat langsung.
Kekaburan ini, sepatutnya menjadi subjek utama kita untuk mengangkat politik yang autentik. Masyarakat apolitikal ini, selalunya mewajahkan politik sebagai perkara yang “waste my time” ataupun satu pertandingan yang jijik kerana mereka melihat, gelanggang politik adalah gelanggang yang memisahkan dua rakan karib-yang dulunya kawan, hari ini lawan. Politik sebagai satu subjek yang memenatkan dan membuang masa. Hari ini, pangkah parti A untuk menggantikan parti B yang korup. Esok lusa, parti A juga korup dan mengamal politik sundal dan sabung fitnah.
Politik Kepartian, Masih Berharapkah Kita?
Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ketumbukan parti-parti politik adalah resam kepada pilihanraya yang merupakan lunas-lunas demokrasi. Sistem demokrasi pula adalah jalan yang dipakai untuk mencapai maqasid akhir kepada politik iaitu keadilan dan maslahat rakyat. Tujuan-tujuan akhir ini, kemudiannya membibitkan idea-idea seperti social-reform (perubahan sosial), freedom (kebebasan) dan lain-lain.
Di Malaysia, kita ada banyak parti politik. Samaada parti pemerintah ataupun parti oposisi yang sengaja diwujudkan sebagai pengimbang kepada isu-isu rakyat yang sejajar dengan falsafah politik; mengimbangi autonomi individu dan aspirasi masyarakat. Parti-parti inilah yang menjadi alat-alat teknikal kepada aktiviti politik di negara ini.
Jika kita bercakap tentang tujuan politik; keadilan dan maslahat rakyat yang mana menuntut kepada perubahan sosial, maka kita wajar bertanya, adakah dengan berpartisipasi dalam politik kepartian, satu-satunya jalan untuk mencapai agenda politik? Adakah semua tatanan masyarakat kita masing-masing perlu menjadi ahli kepada satu parti politik untuk menjayakan falsafah politik tadi?
Budaya politik kepartian di Malaysia, semakin hari semakin surut dan menjengkelkan. Adat pertandingan, untuk menang kita bukan sahaja perlu menjadi defensif tapi juga perlu menjadi ofensif. Kelakuan busuk ini, tidak boleh disorokkan dalam kalangan parti-parti politik di Malaysia. Tidak kiralah samaada parti pemerintah ataupun oposisi. Mereka akan sehabis daya mengungkit dan menasionalkan aib-aib yang ada dalam celana parti lawan mereka untuk memenangi hati rakyat. Mereka akan berbalas-balas ludah, kerana pengadil padang berpesan; barangsiapa berdiam, akan dikira kalah. Politik lucah, politik sentimen dan politik perkauman adalah resipi asli parti-parti politik di Malaysia.
Masalah ini sudah mula kenampakan, penganalisis politik kita sudah mula bercakap hal ini. Isunya, jika kita mengatakan politik kepartian sudah tidak boleh diharap lagi, kita cuba mengalihkan politik apa kepada masyarakat? Lebih-lebih lagi, kelompok apolitikal yang termakan sihir politikus-politikus di Malaysia. Mereka perlu mengamal politik apa?
Politik Ideologi Melawan Sistem Parti Hegemonik
Kita mengakui, bahawa ketumbukan parti-parti politik di Malaysia salah satunya juga adalah kerana ideologi anutan mereka yang bersifat jama’. Ideologi adalah sejenis set fikir yang selalunya digunakan sebagai alat berbentuk teoritikal dan praktikal untuk mencapai perubahan sosial dan keadilan sosial samaada dalam sistem masyarakat mahupun struktur sosial. Kehadiran ideologi-ideologi ini memeriahkan lagi pasar demokrasi, dan sebagai pengamal demokrasi yang percaya kepada kebebasan memilih, maka kita berhak untuk memilih ideologi anutan yang dipercayai dapat menghasilkan sebuah kehidupan yang sejahtera (human well-being).
Cuma, tulisan ini bukan bertujuan untuk menghuraikan aliran/ideologi parti-parti politik di Malaysia, tapi mungkin kita boleh menyebut antaranya ideologi Nasionalis, Islamis, Sosialis dan lain-lain.
Politik ideologi berbeza dengan politik kepartian, walaupun parti-parti politik ini memiliki ideologi anutan mereka masing-masing. Politik ideologi yang dimaksudkan dalam tulisan ini, adalah politik yang memberi keutamaan kepada politik kelas dan political-education (pendidikan politik) pada makna cuba mewajahkan politik sebagai sebahagian pendidikan sosial yang berperanan dalam struktur sosial dan sistem masyarakat secara keseluruhannya.
Politik ideologi adalah politik yang memihak kepada kelompok-kelompok sosial yang tertindas samaada dalam struktural ataupun di luar struktural. Beza utama, seorang pengamal politik ideology dan politik kepartian adalah pengamal politik ideologi tidak berkehendak undi dan sokongan ke atas kumpulannya. Adapun politik kepartian, segala bentuk kebaikan dan persembahan dalam lapangan rakyat perlu disenaraikan sebagai bukti kerja buat. Ini adat pertandingan yang perlu diberesi para politikus.
Adakah parti politik sebagai tunggak perubahan sosial? Persoalan ini perlu kita selidik setuntas-tuntasnya. Menurut Karl Marx (1818-1883), buruh sosial adalah asas utama bagi perubahan sosial. Sesuai dengan perjuangan kelas yang digagaskannya, Marx lebih mempercayai buruh daripad working-class (kelas pekerja) untuk berentap melawan hegemoni yang mendominan terutamanya kaum pemodal yang menindas.
Kita selalu tertipu, bahawa politik ideologi sosial begini tidak mampu memberi perubahan dalam padang politik. Hal ini tersangkal apabila kita melihat, Marxisme yang pada asalnya sebuah ideologi sosial telah beransur-ansur menjadi gerakan politik di pelbagai tempat dan negara.
Politik ideologi kena dimulakan sesegera yang mungkin oleh para aktivis sosial. Sekurang-kurang, menggerakkan political-education kepada masyarakat keramaian. Kita kena melawan projek mengelitkan ilmu politik lebih-lebih lagi politik ideologi. Politik ideologi perlu dibawa mendarat bertemu rakyat. Parti Sosialis Malaysia (PSM) misalnya, pernah membuat percubaan di Kelantan dengan menggerakkan Dialog Ideologi Dengan Orang Kampung (DIDOK). Para politikus yang berangan untuk mendiktat pemikiran orang kampung dan kalangan kelas bawahan yang tiada akses dengan pendidikan politik akan berakhir.
Perubahan Sosial Dan Masyarakat Sivil
Kebanyakan pengamal politik kepartian terlupa ataupun buat-buat lupa tentang kewujudan satu enjin penggerak dan enjin idea dalam demokrasi, iaitu masyarakat sivil. Sfera masyarakat yang terpisah daripada kuasa politik ini sangat besar impaknya kepada perubahan sosial. Sepanjang sejarah, masyarakat sivil mampu membentuk kerajaan yang demokratik bahkan mampu membentuk rejim autokratik.
Kewujudan masyarakat sivil sangat mustahak dalam pendemokrasian di Malaysia. Tatkala kita sudah tidak menaruh harapan kepada kelompok sosial yang politikal, yang terlalu gedik mengidam-idamkan sebuah negara yang bertepatan dengan selera mereka, maka kita kena beralih ke lapangan yang bebas dan tidak terperintah.
Kita mampu mengubah sekalipun tidak berkuasa. Kita adalah unit yang wujud bersosial dalam sistem masyarakat. Kita mengalam tempias krisis dalam semua lapangan kehidupan. Cuma yang perlu kita bina adalah alternatif semisal gerakan counter-hegemony atau untuk kes utama kita dalam tulisan ini, merakyatkan politik kelas, politik ideologi dan pendidikan politik sebagai antitesis kepada budaya tempang politik kepartian. Ideology Yes, Partai No! mengambil semangat Cak Nur.