“Oink… Oink… Oink…”
Telefonku berdengus tiba-tiba serupa khinzir. Usah kaget, memang sengaja pun aku menetapkan bunyi dengusan makhluk tembam itu sebagai nada notifikasi Whatsapp. Lantas aku menghidupkan skrin telefon yang terpadam gelap untuk memeriksa pesanan yang belum pasti siapa pengirimnya.
Barangkali si pengirim itu adalah seorang sister sekelas yang ingin bertanya perihal tugasan yang pensyarah amanahkan untuk disiapkan atau ingin mengajakku keluar bersamanya. Maaf, nyaris-nyaris aku terlupa hakikat diri ini sebagai penghuni Taman Ilmu dan Budi.
Oh, berbalik kepada realiti, rupanya yang mengirim itu adalah rakan lelaki , memang padan sangat dengan bunyi yang aku tetapkan di telefon. Mujurlah aku sudah terbiasa menjadi gagalis dalam percintaan.
“Cuba kau tengok ni. Kau agak siapa yang buat ?” soalnya sambil melampirkan beberapa gambar yang memaparkan coretan kalimah ALB di dinding. Entah bagaimana kawan aku beroleh gambar-gambar ini dan lokasi di mana ia diambil, aku tak pasti dan tidak peduli. Tapi apa yang aku pasti, ada suatu tanda yang termanifestasi dari gambar-gambar ini.
Rakyat biadap bila penguasa sudah tidak boleh diharap
Berbicara tentang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), jangan kita lupa akan nama serta khususnya pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas yang sangat besar lagi signifikan pengaruhnya di universiti ini. Meskipun aku tidak begitu menekuni ilmuan berkenaan dan cuma mengetahui nama karya-karyanya sahaja seperti Islam and Secularism serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam, namun aku mengenali sedikit sebanyak melalui bacaan santai serta diskusi dengan rakan tentang gagasan-gagasan yang dikemukakan oleh beliau seperti Islamisasi ilmu dan loss of adab atau kesirnaan adab yang dirasakan oleh beliau merupakan masalah utama yang dihadapi oleh seluruh umat kemanusiaan melangkaui keturunan serta kepercayaan.
Menyentuh secara beradab mengenai terma loss of adab yang telah digunakan dengan nada senda riang atau nada garang oleh kaum Attasian atau pendukung adicita bawaan Syed Muhammad Naquib ke atas golongan yang berseberangan dengan mereka. Melihat pada gambar-gambar ini, ternyata secara zahirnya perilaku individu yang mencoret kalimah ALB pada dinding tersebut sungguh tidak beradab. Sudahlah tidak beradab, tidak lawa pula. Kalau macam Bansky, tidak mengapa juga.
Yang membuat aku terfikir apakah faktor yang memotivasikan individu tak dikenali ini untuk menghodohkan lagi dinding tembok yang sedia ada hodoh ini? Adakah dia tidak ditimpa timbunan assignments seperti yang dialami oleh aku serta siswi-siswi lain hingga membolehkannya untuk bertoceng dan berconteng? Ada apa dengan kalimah ALB yang diterakan pada dinding berkenaan? Kenapa dia tulis ALB? Mengapa tidak Alif Lam Mim? Adakah contengan tersebut merupakan pengakuan oleh seorang gagalis seperti aku yang tidak terluah di laman IIUM Confession apatah lagi kepada seorang gadis yang dia cintai? ALB: Ammar Love Balqis?
Demi menjawab kemusykilan bukan-bukan yang muncul dari kemisterian akronim ALB ini, moleklah untuk aku membongkarkan makna di sebaliknya. ALB ini juga bukan bermaksud Amin Love Bella tapi sebenarnya adalah singkatan kepada Automated Lane Barrier yang merujuk kepada struktur palang automatik seperti yang dipasang di plaza tol dan ia didirikan di setiap ketiga-tiga gapura yakni pintu keluar masuk kampus.
Berbanding pelaksanaan tol yang mengurangkan duit pengguna jalan raya, ALB ini dilaksanakan untuk mengurangkan jenayah di dalam kampus seperti kes kecurian kenderaan namun ia juga telah mengurangkan kesabaran warga kampus disebabkan oleh kesesakan trafik yang berpunca angkaranya. Kekalutan autoriti universiti dalam melaksanakan ALB dapat diamati apabila Students Representatives Council (SRC) selaku wakil yang dipilih oleh pelajar tidak dibawa bermusyawarah serta bermuzakarah bersama autoriti dan hanya diberi taklimat sahaja menjelang perlaksanaannya. Entah apa yang dikalutkan oleh mereka pun aku tidak pasti. Tapi, beradabkah tindakan autoriti sebegitu? Apa fungsi SRC andainya mereka tidak dilibatkan sekali dalam proses yang akan mengesankan juga para pelajar yang mereka wakili? Ah, kalian jawablah sendiri, aku tak mahu kena AUKU!
Bagi aku, contengan dalam gambar-gambar ini bukanlah suatu kebejatan tapi ia adalah ledakan geram yang sudah lama terpendam lagi dieram. Jika sebarang polisi seperti ALB direncanakan dengan beradab melalui wacana secara terbuka oleh semua pihak sehingga mencapai consensus yang disepakati maka sudah pasti ia akan menjurus kepada ‘adālah yakni keadilan dan bukannya żulm yakni kezaliman seperti yang berlaku kini.
Sebenarnya, dinding-dinding yang bertinta ini mengingatkan aku pada Tembok Berlin yang suatu ketika dahulu pernah membelah Berlin kepada dua. Sisi kanannya disurami dengan kawat duri manakala sisi kirinya disulami dengan grafitti berwarna-warni. Dan seperti Tembok Berlin yang dikatakan akan terus utuh untuk 50 hingga 100 tahun lagi, aku pasti palang ALB ini nanti akan lumpuh dan luluh jua.