Sebuah lopak boleh dilihat sebagai keseronokan untuk penggemar sisa hujan, atau sebagai picisan yang kita elak di tepi jalan kerana tak mahu basah. Tapi untuk makhluk berketinggian seekor Akita dewasa ini sudah pasti melihat lopak sebagai satu risiko atau bahaya.
Sebuah dunia peperangan boleh dilihat sebagai harapan yang musnah dari mata mangsa yang pernah seketika di bawah runtuhan rumah yang dibom, boleh dilihat sebagai kesepian kemanusiaan sejagat dari mata manusia-manusia yang tak mengalaminya, atau sebagai keuntungan penjualan senjata-senjata nuklear dan permainan politik dari mata kuasa-kuasa besar. Tapi dari perspektif makhluk berketinggian seekor Akita dewasa ini sudah pasti perang bukanlah apa-apa bahkan sekadar makanan ruji yang perlahan-lahan membunuh karakter yang sedang tumbuh – mereka sudah melihat ayah yang ditarik dengan kasar oleh pakcik-pakcik berseragam naik ke atas trak dan ibu yang menangis melolong tanpa makhluk ini faham sebabnya.
Kita adalah manusia dan bukan seekor Akita yang kacak dan perlu dibela. Tapi seorang manusia berketinggian Akita masih perlu dibela. Sekarang mari bercakap tentang manusia, sebuah kejadian berkapasiti otak yang sentiasa berkebolehan untuk mengadaptasi dan menambahbaik maklumat di dalam kepala, malah semua sudut boleh menjadi seolah-olah sebuah cekera yang dipadam dan ditulis semula; semua kecuali, emosi.
Ya. Biasanya sekitar umur 1 tahun ke 9 tahun tatkala kita setinggi Akita, otak kita sedang melalui fasa pengenalan emosi dan bagaimana emosi menjadi refleks defensif. Seorang dewasa akan menangis seperti kanak-kanak, kerana kita berkongsi emosi yang sama. Kebolehan otak memadam cakera tak ada dalam hal ini – emosi.
Sekarang bayangkan sebatang tubuh manusia yang ditadah dengan emosi-emosi dari pengalaman-pengalaman bukan kehidupan biasa-biasa, menyeberang sempadan yang sejuk dingin, kalau bernasib baik, hujung jari memaut erat tangan ibu yang tak putus asa. Satu demi satu data yang masuk adalah kepahitan yang akan disimpan secara kekal. Sekarang fikirkan kembali, perang menghasilkan manusia yang macam mana?
Sekitar umur 1 ke 9 tahun tatkala kita sedang merakam pedoman-pedoman dari ibu ayah, bagaimana menjadi ikhlas atau kenapa perlu memaafkan, anak-anak ini sedang menulis dalam cakera mereka tentang keanehan dan dendam apa yang dunia simpan terhadap mereka, apakah dosa mereka atau ibu ayah mereka sampai mereka perlu dilempar dengan letupan-letupan? Kita bercakap tentang satu cakera kekal dalam otak mereka berjudul emosi. Emosi diajar dengan peristiwa dan pengamatan hati. Soalannya, anak-anak yang menghirup udara perang ini, adakah mereka dipandu dengan baik untuk menjadi manusia yang stabil dalam berperasaan?
Tapi sudah tentulah kita merasa lega apabila kita sudah berdoa dan menghantar bantuan kemanusiaan, sekurang-kurangnya kita cuba. Entah-entah kita sedang menjadi boneka penjustifikasi runtuhan-runtuhan hospital dan letupan-letupan sekolah, kerana mangsa pasti diselamatkan dan bantuan pasti dihulurkan; walhasilnya peperangan seolah-olah sudah membuktikan kemanusiaan. Lalu kuasa-kuasa besar terus membekal kimiawi beracun dan senjata menempel di langit negara-negara yang diteraju orang bodoh. Kuasa-kuasa besar terus menghantar peluru yang menembus anak-anak. Ajaib. Contengan ‘Rakyat Mahu Menjatuhkan Penguasa’ di dinding sekolah di Dar’aa bukanlah cerita baru. Firaun yang pengecut ini ada di mana-mana, bersembunyi di sebalik kerusi yang tinggi (atau banyak!) sambil membisukan anak-anak supaya mereka tak sempat menjadi pemuda.
Aku sedang berjalan pulang dari klinik gigi hari ini, dengan langkah perlahan-lahan dari kudrat Ramadan. Matahari bahang sekali, tapi angin kuat sekali. Aku menghayun langkah ke sekolah TFTN For Syria, untuk bersedia aktiviti Ramadhan Camp sekejap lagi.
“Missss!”
Muhammad Al-Ahdab melambai aku dari jauh, sambil senyum manis. Di tangannya ada penyapu. Sedang menyapu sampah di jalan-jalan. Wajahnya sedikit kusam dan gelap, tak secomel kanak-kanak Arab tipikal. Muhammad Al-Ahdab berpuasa, dan dia akan bersama-sama untuk aktiviti Ramadhan Camp sekejap lagi.
Minggu lepas, aku dengar satu-persatu bacaan Al-Quran anak-anak ini, untuk tentukan peringkat masing-masing sebelum dibahagikan mengikut kumpulan. Penting untuk kita tak tempatkan mereka dalam kumpulan yang tak sekufu taraf bacaan, kerana ini boleh merendahkan self-esteem lalu menyebabkan mereka hilang semangat untuk belajar.
Muhammad Al-Ahdab, kanak-kanak Syria berumur 13 tahun, lebih tinggi dari Akita malah lebih tinggi dari aku. Tapi tak ada satu kumpulan pun yang sesuai dengan Muhammad Al-Ahdab melainkan bersama-sama Abud, Mus’ab dan Umar yang berumur 7 tahun. Sebab apa? Sebab Muhammad Al-Ahdab tidak tahu mengeja.
Sebenarnya kita semua tahu beza perspektif dewasa dan anak-anak melihat perang, malah kita semua tahu kecederaan emosi bukanlah sesuatu yang boleh diundur dan dipadam. Tapi penyapu di tangan Muhammad Al-Ahdab itu, bukankah kita yang memberinya?
Jun, 2017.
Irbid, Jordan.